Wednesday, June 8, 2011

Kelebihan Tuisyen Di Rumah Sendiri

Bagi kebanyakan pelajar, tuisyen merupakan pelengkap kepada apa yang dipelajari di sekolah. Ini kerana, mereka dapat mengulangkaji dan bertanya kepada pengajar atau tutor apa yang mereka tidak faham atau terlepas di sekolah. Ibu bapa pula memilih untuk menghantar anak mereka ke tuisyen untuk memastikan anak mereka mengulangkaji pelajaran dan tidak terlalu menghabiskan masa mereka dengan sia-sia.

Terdapat dua jenis tuisyen yang pelajar biasanya pergi iaitu 1) di pusat tuisyen, atau 2) tuisyen di rumah, sama ada di rumah pelajar sendiri atau di rumah pengajar.

Dalam 'posting' kali ini, saya akan menerangkan kelebihan-kelebihan memilih untuk tuisyen di rumah sendiri:

1) Konsep '1-to-1' atau kumpulan kecil

Kelebihan utama memilih tuisyen di rumah sendiri ialah pelajar akan mendapat perhatian sepenuhnya daripada pengajar.

Kita sedia maklum yang setiap pelajar adalah unik, dan tidak semua pelajar cepat dalam memahami apa yang diajar di sekolah. Ada juga pelajar yang tidak mempunyai asas yang kukuh dalam subjek (contohnya: tidak menghafal sifir untuk subjek Matematik) menyebabkan mereka lambat faham apa yang diajar. Kadang-kala, cikgu di sekolah mengajar terlalu cepat disebabkan perlu menghabiskan silibus dalam masa yang ditetapkan. Ini akan menyebabkan pelajar kurang faham apa yang diajar didalam kelas, terutama sekali untuk subjek yang sukar seperti Matematik Tambahan dan Fizik.

Akibatnya, ada pelajar-pelajar yang ketinggalan dan tercicir, dan majoritinya adalah pelajar yang segan untuk bertanya apa yang mereka tidak faham atau tidak tahu di dalam kelas. Lama-kelamaan pelajar-pelajar ini akan mula berputus-asa, hilang minat untuk belajar, dan akhirnya mendapat keputusan yang kurang memuaskan dalam peperiksaan.

Dengan tuisyen di rumah, tumpuan penuh yang diberikan seorang tutor kepada pelajar membolehkan tutor mengetahui apa yang sebenarnya tidak difahami pelajar tersebut. Tutor kemudiannya dapat mengajar pelajar sehingga mereka betul-betul faham, dan memberikan latihan-latihan untuk menguji pemahaman mereka. Kesempatan ini juga dapat digunakan tutor untuk mengenalpasti kekuatan dan kelemahan pelajar tersebut. Sebagai contoh, ada pelajar yang tidak dapat membuat sesuatu soalan Matematik dengan pantas dan betul, walaupun telah memahami apa yang diajar. Setelah dikenalpasti, pelajar ini sebenarnya tidak menghafal sifir,atau tidak mampu membuat congak yang mudah kerana terlalu bergantung kepada kalkulator, atau ada yang masih terkeliru dengan operasi yang melibatkan nombor negatif dan pecahan. Setelah mengenalpasti kelemahan ini, tutor dapat membantu pelajar mencari jalan untuk mengatasi kelemahan tersebut. (contohnya: melatih pelajar menghafal sifir, melatih pelajar membuat congak mudah tanpa kalkulator dsbnya).

Ini amat membantu pelajar dalam pelajaran mereka, dan hasilnya proses pembelajaran akan menjadi semakin mudah dan menyeronokkan. Tuisyen persendirian juga membantu pelajar yang pemalu atau takut bertanya dalam kelas untuk menjadi lebih 'berani' bertanyakan sesuatu kepada tutor.Apabila tutor membantu mereka menyelesaikan sesuatu masalah, mereka akan perlahan-lahan membina keyakinan diri mereka. Pelajar juga akan menyedari yang mereka sebenarnya boleh menyelesaikan masalah-masalah yang lain dengan lebih banyak bertanya. Ini akan menambahkan 'self-confidence' dalam diri pelajar untuk mengatasi perasaan malu dan takut mereka di masa hadapan. Ibu bapa juga akan berasa gembira apabila pelajar mula menunjukkan kemajuan dalam keputusan peperiksaan mereka.

2) Flexibiliti dalam pembelajaran

Tuisyen di rumah amat flexibel dari segi sistem pembelajarannya. Pelajar boleh memilih apa-apa topik atau bab yang mereka ingin belajar, tanpa terikat dengan silibus atau jadual pelajaran. Mereka boleh memilih untuk belajar topik-topik yang susah atau yang tidak faham sahaja dan melangkau mana-mana topik yang sudah difahami. Ini membolehkan pelajar-pelajar yang bakal menduduki SPM atau PMR mula membuat soalan-soalan ramalan dan 'past year papers' dengan lebih awal, dan mempunyai masa secukupnya untuk membincangkan jawapan dengan tutor, dan seterusnya mengenalpasti apa lagi kelemahan yang mereka perlu atasi. Berdasarkan kajian ke atas pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM sebelum ini, antara faktor kejayaan mereka ialah membuat soalan-soalan latihan SPM secukupnya, dan membincangkan jawapan yang mereka dapat salah untuk mengetahui bagaimana mendapatkan jawapan yang betul.

Dari segi masa pula, pelajar dapat memilih waktu dan hari yang mereka selesa untuk belajar. Jika terdapat sebab-sebab kecemasan, mereka boleh menggantikan sesi tuisyen tersebut pada waktu lain, tanpa perlu berasa risau yang mereka akan tertinggal mana-mana topik atau subjek.

3) Keselesaan dan keselamatan

Kebanyakan ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah terutamanya di bandar-bandar amat sibuk dan tidak mempunyai masa untuk menghantar dan mengambil pelajar untuk tuisyen. Dengan memilih untuk tuisyen di rumah sendiri, pelajar tidak perlu lagi ke mana-mana, sekaligus menjimatkan masa dan tenaga mereka. Ibu bapa juga tidak perlu berasa risau kerana keselamatan dan keselesaan anak mereka adalah terjamin di rumah sendiri. Dengan tuisyen di rumah juga, ibu bapa dapat memantau perkembangan pelajaran anak mereka dengan lebih dekat. Ini kerana mereka dapat berjumpa selalu dengan pengajar, dan pengajar sentiasa dapat melaporkan prestasi terkini pembelajaran anak mereka.

Kesimpulannya, dengan memilih untuk tuisyen di rumah, pelajar akan mendapat perhatian sepenuhnya daripada pengajar, memperoleh flexibiliti dalam pembelajaran dan menikmati keselesaan dan keselamatan semasa belajar.

Terima kasih.